Wednesday, August 26, 2009

Hepi Besday 2 me....

25 Ogos.... bertamboh lagi setahun usia duduk kat muka bumi ni....kena tolak setahun usia untuk bernafas. Terima kasihlah kepada kekanda, rakan, sahabat dan rodong-rodong yang sms wish..... kekanda Kak Zie.... U are the first.... diikuti oleh partner SKT Lepih (the only Buntat).. Yang mendoakan kesejahteraan koi... terima kasih... terima kasih....
Kepada yang lupa atau buat-buat lupa tu...hatta rakan yang rapat..... tak per la....penat berpuasa agaknya.... tak derlah lagi gambo atau benda-benda sulit lepas ni... kasi can rodong lain handle pulak..... kawan penat doh...
Kepada Ateh dan Kak De (anak segera 3 bulan aje).... macih la di atas kek yang sempoi tu ye... macam di janji-janji ye... besday kita sama ngan Ateh....share satu kek....Selamat berpuasa... berbuka... bertarawikh... bersahur... dan berpuasa kembali.. sampailah raya.....
.......tokey


Tuesday, August 18, 2009

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL MUBARAK 1430H

ASSALAMU’ALAIKUM SEMUA,

SEMPENA KEHADHIRAN BULAN RAMADHAN TAHUN INI SAYA MEMOHON AMPUN DAN MAAF ATAS SEGALA KESALAHAN DAN KESILAPAN SAMADA YANG SENGAJA ATAU TIDAK DISENGAJAKAN


Doa malaikat Jibril menjelang Ramadhan
"Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad s.a.w
apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut
* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
* Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri;
* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.
Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah Rasullullah dan para sahabat, dan dilakukan pada hari Jumaat.

Monday, August 17, 2009

Cerita Kita Juga - Sukan Kerajaan Tempatan 2009

TAHNIAH KEPADA SEMUA ATLIT, PENGURUS, KELAB PENYOKONG, URUSETIA, KREW, PEMANDU DAN SEMUA YANG TERLIBAT SAMADA SECARA LANGSUNG ATAUPUN TIDAK LANGSUNG YANG MEMBOLEHKAN KITA MUNCUL JUARA KESELURUHAN!! PREPAIR DARI SEKARANG UNTUK LEBIH CEMERLANG DI ROMPIN PADA TAHUN 2011.







Sunday, August 16, 2009

Cerita Kita - Sesi Melepas Geram

Macam biasalah.. setelah penat berhutan.... kita sama-sama makan-makan... minum-minum...nyanyi-nyanyi....puas jugalah nak cari date yang sesuai.... al maklumlah semuanya sibuk dengan komitmen sendiri. Terima kasih kepada CHIEF kami yang sudi datang membawa keluarga ( + dengan 2 buah lagu merdu)... dan gang-gang lain yang sudi membawa family masing-masing.... barulah kenal dengan suami/isteri/anak kengkawan. Ada dah ada anak dara dan anak teruna.... ada baru dapat baby... dan yang penting... ada yang belum ada apa-apa... tu kena tanya la yang empunya diri.... macam si Wana tu.. he..he....
Terima kasih kepada chef Julaimi dengan BBQ special.... hingga meleleh air hidung....juga kepada yang membawa tambahan makanan.... sungguh meriah dan seronok....Tak sangka ramai yang bersuara merdu.... sampai abih tisu buat tutup telinga.. ha..ha..ha.... Bagi yang telah membuat bayaran tapi tidak dapat datang... mintak dihalalkanlah ye.... lain tahun kita plan citer lain...
Rehat dulu untuk fizikal.... lepas raya kita buat semula (kalau tak banjir).......














Wednesday, August 12, 2009

Cerita Kengkawan - XPDC Menawan Puncak Gunung Tahan

Setelah tertangguh agak lama... maka tokey berpeluang untuk "mengup-date" story dalam blog ni. Al maklumlah baru je bertarung di Lepih dalam sukan PBT....Tahun ni begitu cemerlang apabila menyapu bersih 7 kejuaraan... Tahniah kepada semua...
Berbalik kepada cerita kengkawan yang telah berjaya menawan puncak Gunung Tahan, maka sama-samalah kita berkongsi pengalaman Abang Da yang telah dua kali menjejak kaki ke puncak gunung Tahan.... Mudoh orang sekarang rupanye... paip air dah ready kat Bukit Botak....
Beginila rupanya catatan perjalanan Abang Da........

XPDC Gunung Tahan

Biro Rekreasi KESUMBA 2009

28 Jun 2009 - 4 Julai 2009

Awal April 09 aku mendapat khabar bahawa Biro Sosial & Rekreasi KESUMBA akan menganjurkan XPDC Gunung Tahan. Pada usia 43 tahun ini aku memikirkan adakah aku mampu sekali lagi mengharungi keperitan pendakian seperti yang telah dilakukan pada tahun 2000 dulu. XPDC 2000 aku anggap gagal mencapai misi kerana cadangan untuk turun di Kuala Tahan tidak kesampaian gara-gara kecederaan yang menimpa salah seorang pendaki wanita pada waktu itu. Rakan-rakan lain terutama Baby yang masih menjadi AJK mengajak aku menyertai xpdc kali ini. Aku mendapatkan pandangan beberapa orang rakan dan setelah mendengar pendapat mereka aku akhirnya membulatkan tekad untuk menyahut cabaran Gunung Tahan sekali lagi. Sementelah pula bila mengingatkan kembali kata-kata cabaran yang dibaca dipuncak tahan dulu "tak main la naik Merapuh turun di Merapuh" kembali membakar semangat aku. Aku memulakan latihan sendirian dengan berjogging bagi mengembalikan semula stamina yang agak kekurangan. Awal Jun aku diberitahu oleh Mie(mejar) iklan XPDC Gunung Tahan telah di keluarkan dan waktu itu aku sedang bercuti bersama anak-anak di Pulau Langkawi. Aku menelefon Baby agar mendaftarkan nama aku sebagai salah seorang peserta. Aku juga mengambil kesempatan ketika kunjungan ke Padang Besar,Perlis dengan membeli hammock dan flysheet.Pada 15 jun 09 aku menghadiri taklimat latihan yang dirangka oleh Biro Rekreasi dan menjelaskan bayaran pendaftaran sebanyak rm50. Seramai 23 orang pendaki telah mendaftar iaitu Lan, Sjn Drus, Baby selaku wakil AJK yang menyertai xpdc dengan disertai 20 lagi pendaki terdiri dari Wak(Yazid), Jalud,Edy,Azlan,Nik,Ali, Abg Din, Bulat ,Abu,Tajuddin,Su,Izrul,Ju,Rahman,Azali,Khairul,Hilimi,Mie(mejar),Asar dan Aku

. Hanya dua pendaki wanita iaitu Su dan Ju yang menyertai XPDC ini. Seterusnya aku mengikuti latihan intensif selama 2 minggu ini yang dijalankan pada pagi dan petang serta membuat latihan tambahan sendirian disamping juga mengambil makanan tambahan bagi menambah stamina. Dalam minggu-minggu latihan aku membeli barang-barang yang aku rasa perlu dan memuatkan barang2 tersebut kedalam beg yang akan dibawa untuk pendakian nanti. Aku menjalankan experimen dengan membawa beg tersebut semasa latihan dan ianya amat membantu aku mendapatkan kesesuaian keperluan dan beban yang akan dibawa nanti. Disamping itu aku melayari internet mendapatkan maklumat berhubung xpdc gunung tahan dan xpdc yang dilakukan oleh kelab kembara PKNS pada 2005 aku jadikan panduan bagi mendapatkan gambaran sebenar kegetiran yang akan ditempuhi nanti. Pada 26 jun 09 jam 3 ptg taklimat terakhir telah diadakan dan urusetia mengagihkan bekalan makanan,t'shirt 2 helai, sehelai sapu tangan(key) dan topi yang tertera XPDC Gunung Tahan 2009. Pembahagian kumpulan juga dibuat berdasarkan kelab EPL seperti kumpulan 1 Liverpool, kumpulan 2 MU dan Kumpulan 3 Arsenal berdasarkan penutup kepala yang diberikan. Akhirnya saat dan ketika yang ditunggu-tunggu pun tiba...

Hari pertama
28 Jun 2009 (Ahad)

7.00pg Awal2 lagi aku telah ke HQ dengan dihantar oleh Along bagi memastikan beg yang telah dihantar pada malam tadi selamat. Setibanya di HQ, Ali telah pun sampai lebih dahulu. Tidak lama kemudian rakan-rakan pendaki seramai 23 orang berserta AJK Biro Sosial & Rekreasi KESUMBA mula tiba seorang demi seorang. Masing-masing mula membandingkan berat beg antara satu sama lain. Semalam 27 jun 09 aku beberapa kali telah ke pasaraya Giant, Carefour, Tunas Manja dan Eng Hong mendapatkan bekalan makanan bagi menambah dan mengantikan bekalan yang diberikan oleh Urusetia yang aku rasa tidak praktikal dan agak membebankan jika dibawa. Semua bekalan makanan dan resen tentera yang diberi oleh Abg Zan dan Abg Din aku packing mengikut hari pendakian. Aku juga membawa sendiri kelengkapan berkhemah dan memasak dengan membeli camping gas.

8.30pg Setelah semua tiba dan bas yang membawa kami juga sampai(naik bas sekolah yang disewa kerana bas MPK rosak) semua perserta memasukkan beg kedalam perut bas. Sessi bergambar diadakan dihadapan HQ.

9.00pg Selesai bacaan doa oleh Abg Din bas mula bergerak kedestinasi yang di tuju....Merapuh. Menjadi kebiasaan rombongan MPK untuk berhenti sarapan di Bt 8 (Rest Zaman dan Taj).

10.00pg Menyambung perjalanan mengikut LPT. Singgah di R&R Temerloh. Keluar di Tol Temerloh dan meneruskan perjalanan ke Jerantut. Berpusing-pusing didalam bandar Jerantut kerana pemandu gantian(Nyonya) tersalah jalan dan akhirnya keluar ke Tembeling. Seterusnya ke Kuala Lipis.

1.45 tgh Tiba dibandar Kuala Lipis (ada Karnival Lipis waktu ini). Berhenti makan tengahari. Teruk juga kena sembelih oleh peniaga kedai makan di Lipis. Makan tengahari aku aje RM15 dan Baby kena RM11(melampau betui!!!). Sempat meninjau kedai pancing di Lipis dan Baby beli tali untuk ikat khemah.

2.45ptg Meneruskan perjalanan ke Merapuh melalui jalan alternatif ke Gua Musang dengan melewati Felda Gugusan Kechau. Bas berhenti isi minyak di Kg Melaka. Ramai beli jeruk yang banyak dijual semata-mata nak kan bekas plastiknya untuk dijadikan bekas bekal. Sjn Drus beli buah durian dan dapatlah jamah sorang seulas.

4.00ptg Tiba di Pekan Merapuh dan terus masuk ke Kompleks Perhilitan Sg Relau yang berada 7km didalam. Setibanya di Kompleks Perhilitan Sg Relau rombongan kami disambut oleh Lin wakil REELAU Agencies yang menguruskan XPDC ke Gunung Tahan. Pihak Perhilitan telah menswastakan urusan pendakian Gunung Tahan. Pada masa ini satu rombongan pendaki Singapura sedang mendaftar keluar di pejabat perhilitan. Kami juga di maklumkan satu kumpulan pendaki dari UUM seramai 33 orang akan turun semula di Merapuh kerana terdapat kecederaan diantara pesertanya..malahan satu repot polis juga telah dibuat oleh keluarga pendaki yang cedera tersebut kerana liputan rangkaian telefon terutama Celcom kini boleh diperolehi dibeberapa tempat disepanjang laluan pendakian. Seterusnya 'check in' di asrama. Menghabiskan masa petang dengan mandi manda di Lata Serigala dan sebelum itu melihat ikan yang diternak didalam akuarium besar yang dipenuhi oleh spesis kelah, tengas, kerai, sebarau dan beberapa lagi spesis ikan ulu sungai. Makan malam disediakan oleh urusetia dan selepas itu satu taklimat ringkas disampaikan oleh Tuan Nasir selaku ketua kontijen XPDC ini. Reelau Agencies bermurah hati membekalkan sehelai t'shit yang tertera gambar XPDC Gunung Tahan. Perbincangan akhir didalam kumpulan masing-masing dilakukan dan pembahagian samarata seperti khemah,peralatan memasak dan bekalan makanan juga dibuat. Setelah selesai semua peserta kembali ke katil masing-masing.

Hari kedua
29 Jun 2009(Isnin)

6.00pg Semua pendaki bangun awal dan mempersiapkan diri dengan mengenakan pakaian mendaki dan membuat kemasan terakhir kepada barang-barang yang akan dibawa. Pakaian yang akan di tinggalkan disimpan didalam beg lain dan diserahkan kepada urusetia. Sarapan pagi ini juga disediakan oleh urusetia(nasi lemak dan teh o) dan bekalan makanan tengahari yang siap dibungkus diagih-agihkan kepada semua pendaki. Sesi bergambar diadakan dengan semua pendaki mengenakan t'shirt warna merah melambangkan semangat membara bagi menjayakan xpdc kali ini.

8.00pg Semua pendaki diarahkan kekaunter pendaftaran bagi mengistiharkan barang-barang yang akan dibawa sepanjang pendakian. Senarai yang disediakan lebih awal banyak membantu memudahkan proses semakan dan peristiharan. Pegawai perhilitan yang bertugas berasal dari Kuantan(Tmn Uda Murni) dengan dibantu oleh 3 orang pelatih Uitm. Proses peristiharan dapat disiapkan dengan cepat. Semua beg pendaki dimuatkan kedalam kenderaan 4x4 Reelau Agencies dan sebuah trak lagi digunakan untuk mengangkut peserta ke 'starting point' di Kuala Juram yang terletak kira-kira 14km dari Kompleks Perhilitan Sg Relau ini. Dua trip diperlukan untuk mengangkut semua pendaki dan Urusetia ke Kuala Juram.

10.00pg Semua pendaki telah berada di Kuala Juram yang dijadikan pusat santuari kelah. Pendaki-pendaki telah dijamu dengan buah durian dan selepas itu dibawa ke sungai untuk memberi makan ikan kelah. Begitu banyak ikan kelah dengan saiz mega makan di tapak tangan.....gerammmmmm!!!!!!!!

Semua pendaki kembali berkumpul dan membuat aktiviti regangan. Setelah itu Lin memperkenalkan Mail dan Ustaz Nan selaku guide kepada semua pendaki-pendaki MPK ke puncak Gunung Tahan nanti. Ustaz Nan memberikan taklimat tentang tatacara dihutan, pantang larang dan perkara-pekara yang tidak patut dilakukan sepanjang pendakian nanti. Paling ditekankan oleh beliau adalah berhubung keselamatan diri dan perlu menjadi keutamaan kepada pendaki-pendaki kerana guide hanya 2 orang sahaja dan tidak mampu untuk menjaga semua.

Sebagai kata-kata akhir Tuan Nasir memberikan perangsang dan berharap XPDC ini berjaya hingga ke Kuala Tahan dan bersalaman dengan semua pendaki yang telah siap sedia untuk berlepas.

11.15pg Bermulalah perjalanan XPDC Cabaran Mendaki Gunung Tahan KESUMBA 2009.

Laluan hari ini adalah landai sahaja merentasi hutan dan hujan yang turun pada sebelah malam menyebabkan laluan menjadi lembab dan licin. Beberapa pendaki tergelincir kerana masing-masing mengenakan sandal sahaja bagi mengelakkan kasut basah kerana laluan hari ini akan merentasi beberapa anak sungai. Destinasi pertama ialah Kem Kor, sebelum sampai pendaki-pendaki akan melalui Kuala Luis dan Lata Luis. Sejam perjalanan kami tiba di Kuala Luis. Kedengaran gelak tawa dan jeritan beberapa pendaki terutama Su dan Ju yang kegelian dihinggapi pacat. Selepas 15 minit berehat perjalanan diteruskan. Berhenti makan tengahari di Lata Luis. Sisa-sisa makanan yang dibuang menjadi tarikan anak-anak ikan kelah dan beberapa kelah yang agak besar juga mengintai-intai di celah batu. Lebih kurang setengah jam berehat pendakian disambung kembali.

5.00ptg Semua peserta tiba di Kem Kor. Memasang khemah dan memasak makan malam. Mandi manda dan merendamkan diri di Sungai Kor yang mengalir dingin disebelah tapak perkhemahan. Semua peserta dalam keadaan yang ceria dan selepas makan malam tiada aktiviti yang dilakukan selain berborak-borak dan berkenal-kenalan dengan guide.

10.00mlm Semua pendaki berada didalam khemah masing-masing. Sekitar tengah malam hujan turun agak lebat juga. Tidak lama kemudian kedengaran suara-suara yang merungut kerana khemah dimasuki air dan gelak tawa mula kedengaran. Akhirnya suasana kembali sepi dan yang kedengaran adalah dengkuran saling bersahutan.....lena dibuai mimpi masing-masing. Menjelang pagi hammock aku yang berada dibahagian atas semakin mengendur dan menindih hammock Asar dan terpaksa ditegangkan semula...kena belajar mengikat nampak gayanya.

Hari Ketiga

30 Jun 2009(Selasa)


5.00pg Mata dah tak nak lelap ditambah dengan kedinginan pagi yang terasa hingga ketulang membuatkan aku terkelip-kelip didalam hammock berselimutkan sleeping beg. Nak bangun masih awal lagi walau pun telah kedengaran suara-suara rakan yang lain yang juga telah terjaga. Masing-masing masih liat nak bangun.

6.00pg Suasana kembali riuh apabila semua pendaki telah bangun. Ramai yang bersungut kerana tidur dalam keadaan basah akibat khemah diserapi air hujan...itulah antara cabaran pertama yang dirasai...seterusnya pendaki-pendaki mula mengemaskan peralatan, menyediakan sarapan dan memasak bekalan makan tengahari. Semua aktiviti tersebut dibuat didalam kumpulan kecil masing2.

8.00pg Semua pendaki membuat aktiviti regangan dan memanaskan badan. Setelah itu Mail memberikan taklimat berhubung perjalanan hari ini. Beliau menyatakan perjalananan hari ini adalah cabaran sebenar untuk tiba ke puncak Gunung Tahan yang akan mengambil masa selama lebih kurang 9 jam atau lebih bermula dari ketinggian 306m(Kem Kor) ke 2187m(Puncak Gunung Tahan). Sepanjang laluan ini pendaki-pendaki akan melewati Kem Permatang, Kubang, Berlumut, Bonsai dan Bukit Botak. Pendakian yang paling sukar adalah antara Kem Kor(306m) ke Kem Kubang (1406m) dengan jarak 6km. Beliau menasihati semua pendaki supaya berjalan dengan keupayaan sendiri dan pastikan keselamatan diri diutamakan. Dengan lafaz Bismillah 21x semua pendaki memulakan perjalanan menawan puncak Gunung Tahan.

9.45 pg Semua pendaki tiba di Kem Permatang. Pendakian tadi telah menyebabkan kumpulan berpecah tiga. Kumpulan pertama yang tiba terdiri dari pendaki-pendaki yang muda dan bertenaga. Aku dalam kumpulan kedua dan tidak lama kemudian kumpulan ketiga menyusul. Berehat seketika disini dan kumpulan pertama telah meneruskan pendakian.

12.55tgh Pendaki terakhir tiba di Kem Kubang. Makan bekal tengahari didalam suasana yang agak sejuk disini walaupun waktu itu tengahari. Sewaktu menikmati makan tengahari kumpulan pendaki UUM(pendaki2 lelaki) tiba dari Bukit Botak. Berbual-bual dengan mereka dan mereka mencadangkan supaya kami bermalam di Bukit Botak yang mana mereka telah berada disitu selama 3 malam.

1.30tgh Menyambung pendakian ke Kem Berlumut. Perjalanan menjadi perlahan kerana laluan yang berlopak dan berselut.

2.30ptg Setelah berjalan sejauh 1.5km tiba di Kem Berlumut. Berehat seketika, sewaktu tiba tadi Mail sedang solat manakala kumpulan dihadapan telah tidak kelihatan. Rupanya mereka telah meneruskan pendakian dengan kebenaran Mail dan di ketuai oleh Lan. Meneruskan perjalanan ke Kem Bonsai dengan jarak 5.5km, baru beberapa minit berjalan Mail telah hilang dari pandangan, mungkin mengejar kumpulan dihadapan tadi. Didalam perjalanan ini telah bertemu dengan kumpulan pendaki UUM yang berpecah kepada 3. Kumpulan kedua kebanyakannya pendaki2 wanita ditemui di satu cenuram dan mereka memberikan laluan untuk kami turun terlebih dahulu. Berbual seketika, melihatkan gelagat mereka yang riuh rendah kami hanya mengelengkan kepala saja. Kumpulan 3 yang bergerak agak perlahan kerana ada pendaki yang cedera ditemui berhampiran "Puncak View". Memberikan laluan kepada mereka..."Mejar dua-dua belah kaki dah keluar dari geng ahli syurga"....

5.00ptg Tiba di Kem Bonsai. Kelihatan Mail duduk sendirian menunggu kumpulan kami tiba. Kumpulan dihadapan telah meneruskan pendakian ke Bukit Botak yang berjarak 3km dari sini. Sayup-sayup kelihatan mereka sedang mendaki. Berehat seketika dan mengambil gambar dengan berlatarkan suasana petang yang amat indah dan banjaran gunung yang berjajaran. Terasa besarnya alam ciptaan IIlahi ini. Dengan langkah yang semakin perlahan pendakian diteruskan sambil merakamkan gambar-gambar pemandangan yang indah dan rasa kedinginan mula menjamah kulit ditambah lagi dengan baju yang basah dek peluh yang tidak pernah kering.

7.15ptg Tiba di Kem Botak dalam remang-remang senja disambut kicauan burung yang pulang kesarang. Sayup di belakang kelihatan banjaran gunung yang telah ditempuhi dengan penuh keperitan disulami ketabahan, dan suasana sejuk disitu menyebabkan semua perkara perlu di siapkan dengan pantas. Beberapa pendaki muda turun kebawah mengambil beg Sjn Drus dan Abg Din(pendaki veteran dalam kumpulan kami) yang semakin perlahan meneruskan pendakian. Terimakasih kepada mereka.

8.00mlm Semua pendaki telah tiba dan menikmati makan malam yang telah disediakan oleh mereka yang sampai terlebih dahulu. Terimakasih kepada mereka terutama chef cook Mr Baby yang masakannya begitu menyelerakan(Walaupun menunya main campur aje tapi emmm ada harapan ganti chef sg lembing). Selepas makan malam satu perbincangan ringkas dan semakan kepada bekalan makanan dan peralatan telah dijalankan. Cahaya bulan dan bintang yang bertaburan dilangit menghasilkan pemandangan yang tidak dapat diceritakan dengan kata-kata. Alangkah indahnya.... Masing-masing merehatkan diri didalam khemah dan ada yang merokok dengan berselimutkan sleeping beg. Memakai dua lapis baju dan seluar, mengenakan penutup kepala dan muka, sarung tangan, stokin dan sleeping beg masih tidak dapat mengatasi rasa sejuk yang menikam hingga ke tulang. SEJUKKKK......macam musim sejuk kat europe bercakap pun keluar wap di mulut. Tidur malam terganggu lagi dek rasa sejuk yang amat sangat....rupa-rupanya hujan dan waktu itu sekitar 3.30 pagi. Dalam kebasahan dan kesejukan itu mata terlelap juga dek kerana keletihan walaupun tidur dalam keadaan duduk.

Hari Keempat

1 Julai 2009 (Rabu)

6.00pg Semua pendaki telah bangun dan membuat persiapan bagi menyempurnakan misi menawan Puncak Gunung Tahan. Tindakan menyediakan saluran paip air gunung dan tandas yang ada amat dipuji kerana dapat memberikan kemudahan kepada pendaki-pendaki. Suasana pagi yang ceria dan masa berlalu dengan begitu cepat. Sinaran mentari yang terik tidak terasa kerana kesejukan yang masih lagi mencengkam.

8.30pg Semua pendaki siap sedia dengan memakai baju biru yang dibekalkan dan kebersihan kawasan diperiksa bersama-sama. Pendaki-pendaki membuat aktiviti regangan dan setelah itu Mail seperti biasa memberikan taklimat ringkas berhubung perjalanan hari ini. Beliau menasihatkan pendaki-pendaki membawa bekalan air yang mencukupi kerana tiada punca air lagi selepas Puncak Gunung Tahan. Perjalanan dari Kem Botak (1943m) ke Puncak Gunung Tahan(2187m) dengan jarak 2.5km. Dengan semangat yang berkobar-kobar semua pendaki bergerak menuju Puncak Gunung Tahan. Laluan yang digunakan adalah laluan air dan dikiri kanannya hanya ditumbuhi oleh pokok-pokok yang renek dan berbatu. Keadaan ini membolehkan pendaki-pendaki diatas melihat dengan jelas rakan-rakan yang masih mendaki dibawah dan juga Bukit Botak yang semakin jauh ditinggalkan. Sesekali jarak penglihatan agak terhad apabila awan meliputi laluan ini.

10.20pg Akhirnya tiba juga di Puncak Tahan setelah mendaki selama 2 hari 2 malam dengan jarak 44km dari Sungai Relau dan kegirangan pendaki-pendaki tidak dapat disembunyikan lagi. Masing-masing meluahkan perasaan dengan gelak tawa dan senyum terukir dibibir serta bersalam-salaman mengucapkan tahniah antara satu sama lain. Sesi bergambar beramai-ramai dengan laungan "MPK Boleh" memecah kesunyian Puncak Gunung Tahan. Maka tercatatlah satu lagi sejarah dalam diari hidupku.."Akhirnya Ku Tawan Puncak Gunung Tahan Untuk Kali Yang Kedua".Dengan liputan Celcom yang agak terhad pendaki-pendaki terpaksa bergilir-gilir membuat panggilan dan menghantar sms kepada keluarga dan rakan memberitahu kejayaan ini. Kemudahan tandas dan tempat mengambil air juga disediakan di Puncak Tahan. Keinginan ku untuk bermalam di puncak tidak kesampaian namun aku berbangga juga kerana berjaya
mencecahkan kaki di sini lagi. Buat adik-adik dan anak-anak yang akan tiba di Puncak Gunung Tahan telah aku tinggalkan pesanan untuk mereka. Apa yang dapat aku fahami dan pelajari dari XPDC ini ialah empat elemen penting yang perlu ada iaitu fizikal, peralatan, semangat dan rezeki yang saling berkaitan untuk melakarkan kejayaan. Elemen ini boleh diimplimentasikan dalam semua perkara terutama dalam alam pekerjaan kita.

11.30pg. Setelah sejam berada disini dan segala-gala yang dihajati telah terakam maka perjalanan pulang pun bermula. Bagi Aku, Mie(mejar),Baby dan Lan cabaran perjalanan turun inilah sebenarnya yang menjadi penyebab utama kami menyertai xpdc kali ini setelah gagal pada percubaan pertama tahun 2000 dahulu. Bagi kami cabaran baru saja bermula.... Dengan laluan yang licin dan dipenuhi lopak-lopak air perjalanan menuruni gunung ini memerlukan pendaki-pendaki agar berhati-hati supaya tidak terjatuh terutama kepada beberapa pendaki yang telah mula mengalami sakit lutut. Destinasi seterusnya adalah Gunung Gedong (2055m).

12.30tgh Sejam perjalanan hujan tiba-tiba turun. Dengan memakai ponco perjalanan diteruskan dalam hujan yang agak lebat juga sambil berhati-hati menuruni curam dan laluan yang licin berair...begitulah cabaranya. Pokok-pokok yang renek dikiri kanan laluan tidak dapat membantu kami mengimbangkan badan justeru kekuatan lutut digunakan sepenuhnya hingga rasa nak tercabut kepala lutut.

1.30ptg Tiba di Kem Padang dalam renyai-renyai hujan di pergunungan. Masing-masing mencari port untuk berehat dan 'flysheet' guide menjadi tempat untuk tumpang berteduh dari hujan. Alhamdulillah beberapa ketika kemudian hujan juga berhenti dan kesempatan ini digunakan untuk menikmati bekal makan tengahari yang dibawa. Walaupun dengan lauk segera namun apabila ditambah ikan masin ianya begitu menyelerakan. Teh 'O' panas yang diberikan oleh Mail terasa begitu nikmat sekali.

Beberapa pendaki mendapat kecederaan kecil seperti melecet di kaki akibat berjalan didalam keadaan basah. Aku sendiri mula rasa tidak selesa di bahagian peha dan lutut.

2.00ptg Perjalanan kedestinasi sebenar iaitu Gunung Gedong yang dianggarkan hanya kira-kira 2 jam lagi diteruskan. Kali ini Aku,Mejar dan Baby berjalan bersama-sama menikmati pemandangan indah pergunungan selepas hujan dengan kabus/awan yang sesekali menerpa dibawa angin . Nasihat Mail "Cepat sampai, lambat pun sampai" membuatkan kami bertiga memperlahankan langkah sambil meninjau batuan yang ada dengan harapan dapat menjumpai sesuatu yang cantik berkilauan. Dalam perjalanan ini kami juga melewati beberapa komponen bangkai kapal terbang British yang terhempas diletakkan ditepi laluan pendaki dan selebihnya dapat dilihat bertaburan di lokasi sebenar dibukit bersebelahan. Mengikut kata Ustaz Nan, dulu ada lapangan terbang kecil di kawasan tersebut. Dari kedudukan ini juga dapat dilihat nun dibawah sana satu binaan yang dijelaskan oleh Ustaz Nan adalah tandas yang ada di Kem Padang yang asal. Dahulu Kem Padang merupakan salah satu tempat perhentian sebelum Gunung Gedong dan telah dipindahkan ke laluan baru yang menjadi persinggahan kami tengahari tadi. Perubahan laluan ini dibuat bagi mengelakkan pendakian yang sukar ke Gunung Gedong dimana laluan yang sedang kami lalui ini adalah betul-betul diatas puncak gunung. Kami perlu berwaspada agar tidak dibawa oleh angin yang sesekali bertiup agak kencang seperti pesan Mail sebelum kami bertolak tadi.

5.00ptg Kami tiba di tapak perkhemahan Gunung Gedong. Tandas yang dilihat tadi berada jauh dibawah dan mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai. Pada mulanya risau juga memikirkan punca air yang jauh dan beberapa pendaki yang muda bersedia untuk turun dengan membawa bekas air. Kerisauan kami terungkai apabila Mail dan Ustaz Nan muncul dengan bekas yang berisi air dan telah siap mandi-manda pula. Mereka menunjukkan arah kepada punca air yang berada hanya lima minit sahaja dari tapak perkhemahan. Rupanya hujan yang turun telah menyebabkan wujudnya aliran air dan membentuk beberapa takungan air yang besar. Syukur alhamdulillah walau pun hujan mendatangkan kesukaran kepada perjalanan kami namun ianya juga membawa kebenaran bahawa "Air Itu Rahmat".Rasa segar seluruh anggota setelah siap mandi manda. Waktu petang di sini amat nyaman sekali seolah-olah berada didalam bilik berhawa dingin. Semua pendaki berada didalam kumpulan masing-masing menyediakan makan malam dan sesekali kedengaran derai tawa mereka.

8.00mlm Suasana mendung dan bintang yang tidak kelihatan mengusarkan semua pendaki dan masing-masing mempastikan khemah yang dipasang berada didalam keadaan yang baik. Harapan kami semoga hujan tidak turun lagi malam ini. Keadaan tapak perkhemahan yang berbatu dan dikelilingi oleh pokok-pokok renek menyukarkan Aku,Asar,Mejar dan Rahman untuk menggantung 'hammock'. Malam ini aku terpaksa bangun beberapa kali untuk membetulkan kedudukan beg yang menjadi alas hammock. Suasana sejuk disini adalah sama seperti yang dirasai ketika bermalam di Bukit Botak.

Hari Kelima


2 Julai 2009(Khamis)

5.00pg Kedengaran suara beberapa orang pendaki telah bangun. Rupanya masing-masing mencari tempat yang sesuai untuk melepaskan hajat. Hujan semalam juga telah menyebabkan beberapa lopak air yang besar terbentuk disekitar tapak perkhemahan dan memudahkan kami.

6.00pg Suasana hening pagi dipecahkan oleh kicauan burung kecil yang mencari makan. Semua pendaki juga telah bangun dan menjalankan rutin biasa dengan mengemas khemah, beg, peralatan dan memasak sarapan serta bekal makan tengahari. Setelah itu semua pendaki mempersiapkan diri.

8.15pg Aktiviti regangan dijalankan seperti biasa. Mail memberikan taklimat berhubung perjalanan hari ini. Destinasi hari ini ialah Kem Teku dimana sebelum itu kami akan menempuhi Gunung Reskit,Gunung Tangga Lima Belas, Pangkin Atas, Wray Camp dan akhirnya Kem Teku. Perjalanan hari ini adalah ujian sebenar kepada pendaki-pendaki dan menjadi kayu ukur kepada mereka yang ingin keluar ke Kuala Tahan dengan jayanya.

Bermula sahaja perjalanan satu cenuram siap sedia menanti. Sepertimana taklimat oleh Mail tadi pendaki-pendaki perlu menuruni cenuram tersebut dengan bantuan tali-tali yang tersedia serta memastikan beg tidak tersangkut. Tali-temali yang disediakan memainkan peranan yang penting kepada keselamatan pendaki disamping kerjasama erat antara satu sama lain. Beberapa ketika menuruni laluan ini kami tiba disatu tempat yang terdapat satu runtuhan tanah yang memerlukan pendaki-pendaki berkerjasama memberikan panduan kepada rakan, andai tersilap langkah gaung yang dalam menanti bak kata Mail "kena kutip tulang la". Laluan ini sebenarnya menuruni jurang yang tinggi dengan dinding batu yang menegak mencecah kedudukan hampir 90 darjah. Sewaktu menuruni tangga dengan berpaut pada tali yang disediakan terbayang betapa sukarnya kerja-kerja yang dijalankan dan sesungguhnya amat besar sekali jasa mereka-mereka yang menyediakan kemudahan ini. Jika tiada tangga rasanya sukar untuk melepasi laluan ini.

10.00pg Semua pendaki tiba di Gunung Reskit(1279m) setelah 1 1/2 jam berjalan menuruni Gunung Gedong dan aku agak bersemangat juga pagi ini apabila berada didalam kumpulan dihadapan. Setelah berehat seketika perjalanan diteruskan kembali. Perjalanan ini dirasakan lebih sukar dan amat memeritkan. Aku semakin keletihan dan memperlahankan langkah. Mujur cuaca yang mendung membuatkan kehausan tidak terlalu dirasai menyebabkan 3 bekas air yang dibawa dirasakan agak membebankan.

1.30tgh Berhenti makan tengahari di Pangkin Atas setelah mengharungi perjalanan yang begitu getir dan mencabar sekali. Cabaran menuruni dan mendaki tangga di Gunung Tangga Lima Belas begitu perit dirasakan dan menyebabkan Abg Din meminta bantuan Ali untuk membawa beg yang tak tergalas lagi. Memang ada 15 tangga yang perlu ditempuhi dilaluan ini bukan namanya sahaja seperti kata Mail pada awalnya,menyerlahkan kebijaksanaan guide bermain psikologi dengan pendaki. Hujan yang renyai-renyai sewaktu melewati Gunung Tangga Lima Belas menjadi lebat dan menyebabkan semua pendaki basah kuyup. Apa yang mampu dilakukan hanyalah melindungi beg dengan ponco, dan perjalanan menjadi begitu getir kerana kesukaran untuk mengagak tempat berpijak kerana digenangi air ditambah lagi dengan laluan yang sempit dan curam serta dipenuhi akar-akar. Silap langkah akan membawa padah, jurang yang dalam dikiri kanan laluan begitu menyeramkan. Tapak tangan terasa perit walaupun memakai sarung tangan kerana perlu memegang tali dengan kemas dalam keadaan basah, lutut pula terasa nak tercabut. Laluan menjadi berlopak dan berselut. Beberapa pendaki menyuarakan rasa serik untuk mengulangi cabaran ini kerana seluruh badan terasa sengal dan kelesuan amat dirasai.

2.00ptg Perjalanan disambung kembali dan seperti pagi tadi laluan yang berlopak dan berselut perlu ditempuhi juga. Setelah melewati Camp Wray perjalanan menjadi sedikit mudah, laluan adalah kering kerana kawasan ini tidak ditimpa hujan ditambah lagi berjalan dibawah pokok-pokok yang besar. Cahaya mentari sesekali menjamah kulit apabila melewati kawasan yang lapang. Pendaki-pendaki veteran yang terdiri dari Aku, Mie, Baby, Sjn Drus dan Abg Din dengan ditemani Ustaz Nan menjadi kumpulan terakhir dan kami bergerak secara perlahan-lahan sambil mendengar cerita dari Ustaz Nan. Sesekali terdengar suara mengaji Ustaz Nan yang tetap di belakang kami.Sewaktu berehat seketika Ustaz Nan menunjukan kemeyan hijau yang dijumpai pada akar pokok kepada kami. Kebetulan ponco beliau juga berwarna hijau dan diletakkan berhampiran. Baby dengan bersahaja memberitahu Ustaz Nan yang beliau menjumpai selonggok kemenyan hijau menyebabkan Ustaz Nan terpinga-pinga. Apabila Baby menunjukkan kepada ponco Ustaz Nan maka pecahlah suasana dengan derai tawa kami dan itulah ketawa pertama yang aku dengar dari Ustaz Nan kerana dari hari pertama lagi beliau tidak bersama-sama kami di perjalanan dan hanya mengikut kumpulan pendaki dari belakang sahaja. Beliau hanya memotong apabila telah hampir dengan hentian terakhir yang menjadi tempat perkhemahan kami. Beliau juga bercerita dan menunjukkan tempat berhampiran sebuah batu besar bersebelahan sebatang pokok balak yang ukur lilitnya 4 kali tangan orang dewasa tentang kematian seorang pendaki yang mempunyai berat badan 120kg disitu. Pendaki tersebut mempunyai kekuatan mental yang luarbiasa sehingga berjaya tiba kesitu dari Kuala Juram, beliau rebah disitu sekitar jam 6 petang dan menghembuskan nafas terakhir pada 6 pagi keesokan harinya. Seramai 12 orang diperlukan untuk mengangkat jenazah beliau ke Kem Teku dan seorang guide terpaksa berlari keluar seharian untuk mendapatkan bantuan. Begitu besar tanggungjawab guide pada waktu itu, dan tidak hairanlah dizaman yang canggih ini guide mempunyai telefon setelit (Nota: Aku terdengar perbualan Mail menggunakan telefon sewaktu bermalam di Gunung Gedong)

5.00ptg Kumpulan kami tiba di Kem Teku dan aku tanpa berlengah lagi terus merendamkan diri kedalam sungai sambil memastikan tiada pacat dibadan, setelah itu membasuh pakaian yang telah empat hari dipakai. Aku berendam sepuas-puasnya kerana kali terakhir berendam ketika di Sungai Kor 4 hari yang lalu. Setelah membersihkan diri masing-masing bergilir-gilir menghadirkan diri kehadrat Illahi melahirkan rasa syukur. Perut mula berkeroncong dan makanan yang paling cepat untuk mendiamkannya adalah mee segera. Setelah itu barulah aku meninjau pokok yang sesuai untuk menambat 'hammock' dan kawasan tapak perkhemahan yang lapang telah diisi dengan khemah-khemah pendaki yang lain. Pacat yang banyak disini menyebabkan Su dan Ju terlompat-lompat dan hampir semua pendaki menjadi mangsa gigitan. Aku dan Asar memilih tempat dipinggir hutan dengan kebenaran guide dan berada agak jauh dari khemah-khemah yang lain dan kami menyalakan unggun api menggunakan sisa-sisa kayu unggun api yang ditinggalkan oleh pendaki-pendaki terdahulu bagi menghalau agas yang banyak.

9.00mlm Perut sekali lagi berkeroncong dan kami berdua memasak nasi untuk makan malam. Pendaki-pendaki yang lain ada yang berehat dikhemah dan ada juga yang mencuba nasib dengan menyuluh dicelah-celah batu. Suasana riuh di khemah Baby menarik perhatian aku. Bila dihampiri aku dapati rakan-rakan pendaki lain telah berkumpul dan apa yang aku lihat amat menakjubkan...."rezeki! rezeki!rezeki Allah! kata Baby. Bila diamati agak banyak juga dengan saiz yang besar-besar dan masa yang singkat diambil menyerlahkan kecekapan Baby serta menunjukkan betapa banyaknya ia disini dan aku rasa satu kampung boleh menikmatinya. Operasi pun bermula dan tidak lama kemudian aroma yang menitiskan air liur berlegar-legar di kawasan tapak perkhemahan. Bahagian guide tidak dilupakan dan mereka agak terkejut dengan hasil yang diperolehi. Sambil menikmatinya Baby bercerita tentang keseronokan mencarinya dan yang melucukan apabila Rahman secara selamba menyambut apa yang dilemparkannya sebelum menyedari bisa yang ada. Masih banyak baki yang ada dan disimpan untuk dijadikan lauk bekal tengahari esok. Masing-masing tidur dengan lena dek keletihan dan kekenyangan. Sekitar tengah malam 'hammock' aku terlerai ikatannya dan dengan pantas aku mengikatnya semula. Cuaca agak panas dan aku sambung tidur dengan hanya memakai 'thight' dan baju pagoda sahaja, mujur 'hammock' aku lengkap dengan kelambu.

Hari Keenam

3 Julai 2009 (Jumaat)

4.30pg Mata dah tak boleh lelap lagi. Aku terus tetap didalam 'hammock' sambil mendengar suara-suara unggas dan deruan air Sungai Teku.

5.30pg Aku mengejutkan Asar dan membawa barang-barang keatas batu-batu di Sungai Teku bagi mengelakkan pacat-pacat yang sedia menanti membaham kaki. Setelah itu membersihkan diri dengan air Sungai Teku yang dingin serta menunaikan tanggungjawab kepada Yang Maha Pencipta. Kata-kata Ustaz Nan petang semalam "Gunung Tahan mampu di daki tak kan solat pulak tak mampu buat" terngiang-ngiang ditelinga aku sebelum beliau mengimamkan solat Jamak Taakhir (Di Sungai Teku baru beliau dan Mail layak solat jamak). Aku dan Asar menyediakan sarapan pagi dan menunya agak istimewa sikit kacang panggang dan bubur gandum serta menghabiskan bekalan roti yang luput tarikh hari ini.

6.00pg Aku mengejutkan rakan-rakan pendaki yang lain. Selepas sarapan kami menyediakan bekal makan tengahari dan Baby juga mengagihkan lauk makan tengahari kepada semua pendaki. Sambil menunggu rakan-rakan pendaki dan guide bersiap sedia aku mengambil kesempatan merakamkan gambar di sekitar Kem Teku dan kala ini mula kedengaran rakan-rakan bercerita tentang pengalaman aneh yang dialami malam tadi. Ingatkan aku sahaja yang mengalami pengalaman tersebut rupanya Mejar juga terkena apabila balak yang sebesar dua pemeluk yang menjadi tempat beliau mengikat 'hammock' bergolek dan mengakibatkan barang-barang yang diletakkan diatasnya juga jatuh. Asar pula memberitahu sewaktu asyik menyalakan unggun api yang hendak terpadam beliau juga terpandang sesuatu yang meremangkan bulu roma. Mail menambah tapak khemah Su dan Ju yang didirikan berhampiran pokok besar ditengah-tengah Kem Teku adalah juga tempat yang sama meletakkan jenazah pendaki selama 2 hari sebelum dibawa keluar. Gangguan-gangguan ini adalah perkara biasa yang terjadi dan beliau meminta kami supaya tidak terlalu memikirkannya.

8.00pg Setelah semua pendaki siap sedia untuk memulakan perjalanan dan membuat aktiviti regangan Mail memberikan taklimat berhubung perjalanan hari. Destinasi hari ini adalah Kem Melantai dan sejauh 22km. Sebelum tiba pendaki-pendaki perlu mengharungi 8 batang sungai dan selepas itu mendaki Gunung Rajah, turun ke Kem Tengah ditengah-tengah Bukit Malang sebelum dijangka tiba di Kem Melantai. Sungai pertama diharungi kira-kira sepuluh minit sebaik bertolak dari Kem Teku dengan air dibeberapa batang sungai separas pinggang dan agak deras juga. Pendaki-pendaki saling berkerjasama untuk melepasi sungai dengan cepat bimbang kepala air tiba dengan tidak dijangka. Perjalanan menyusuri tebing sungai amat merbahaya kerana berjalan diatas batu-batu yang licin berlumut dan sesekali perlu melepasi kuala yang penuh dengan kayu-kayu. Beberapa pendaki tergelincir dan tindakan pantas rakan-rakan dapat mengelakkan daripada hanyut dibawa arus. Dapat juga dilihat tali-tali yang dipasang telah putus dirempuh kepala air yang membawa bersama-samanya kayu-kayu dan juga batu-batu. Mail menunjukkan hakisan pada tebing tinggi yang menandakan paras air pasang apabila hujan. Kami juga ditunjukkan kesan tapak kaki rusa yang masih baru yang mungkin turun untuk meminum air tadi sebelum dikejutkan dengan kehadiran kami.

1.00tgh Kami semua tiba di Kem Putih selepas khatam 8 batang sungai dan perjalanan ini begitu meletihkan dan mengambil masa selama 5 jam. Beg yang dibawa dirasakan semakin berat kerana basah. Masing-masing mengambil kesempatan menjemur beg dan pakaian serta sleeping beg yang turut terkena air. Makan tengahari kali ini begitu menyelerakan dengan lauk yang segar dari Kem Teku semalam.

1.45ptg Agak lama juga kami berehat disini dan Mail memaklumkan kami perlu sampai ke Kem Tengah selewat-lewatnya jam 4 petang jika ingin bermalam di Kem Melantai. Dengan langkah yang semakin longlai dan lutut pun terasa sengal kami meneruskan pendakian Gunung Rajah.

3.30ptg Semua pendaki tiba di kemuncak Gunung Rajah yang hanya ditumbuhi pokok paku pakis dan kelihatan banyak pokok balak jenis Seraya di sekelilingnya. Cahaya matahari yang terik dan ketiadaan tempat untuk berlindung menyebabkan kami tidak boleh berlama disini. Setelah masing-masing berjaya menghubungi keluarga dan rakan kerana terdapat liputan Celcom disini perjalanan pun diteruskan.

5.00ptg Kumpulan pendaki terakhir tiba di Kem Tengah setelah mengharungi perjalanan yang panjang hari ini. Selepas berbincang kami membuat keputusan untuk bermalam disini memandangkan beberapa pendaki perlu berehat bagi mengelakkan kecederaan menjadi lebih teruk. Pada mulanya beberapa pendaki muda berhasrat meneruskan perjalanan kerana teruja untuk segera menamatkan xpdc ini tapi suara ramai membantutkan hasrat mereka lagipun Mail memaklumkan perjalanan selepas jam 6 petang adalah tidak dibenarkan lagi.Mail meminta semua pendaki supaya tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk membersihkan diri dan perlu bergilir-gilir memandangkan saluran air hanya ada satu sahaja. Kami perlu turun kebawah kira-kira 10 minit perjalanan ke punca air tersebut. Satu lagi anugerah Illahi. Airnya begitu dingin dan amat jernih sekali. Semua pendaki memenuhkan bekas-bekas air bagi kegunaan malam ini.

7.30mlm Memandangkan malam ini merupakan malam terakhir XPDC masing-masing menghabiskan bekalan makanan yang berbaki dan mula menghitung bekas-bekas yang perlu diserahkan untuk semakan di Kuala Tahan nanti. Memasak menjadi aktiviti yang mengamatkan apabila ada yang melelong bekalan dan menunya juga bermacam-macam.

9.00mlm Setelah selesai makan malam dan berperang dengan nyamuk dan agas ditambah dengan kepenatan yang belum hilang, seorang demi seorang hilang didalam khemah merehatkan diri. Suasana perlahan-lahan menjadi sunyi sepi dan diganti oleh bunyi unggas rimba dengan sesekali diselangi bunyi dengkuran rakan pendaki. Keletihan yang amat sangat menyebabkan aku begitu lena didalam hammock yang berayun perlahan-lahan ditiup angin malam..

1.49tgh mlm Tak semena-mena 'hammock' aku terungkai lagi talinya menyebabkan aku jatuh terduduk. Aku ingatkan talinya putus tapi bila diamati masih utuh lagi dan ini mengundang rasa pelik kerana aku rasa petang tadi aku telah mengikatnya dengan kemas. Bunyi aku jatuh menyebabkan Ustaz Nan yang ada dikhemah sebelah terjaga dan aku memberitahunya mungkin ikatan aku tidak kemas. Apabila beliau berkata ada sesuatu nak bergurau dengan aku menyebabkan aku segera mengikat semula 'hammock'. Dengan pantas aku masuk kembali dan membuang perasaan seram yang mula bersarang dihati. Berbekalkan surah alFatihah yang dibaca tidak henti-henti aku akhirnya terlena kembali.

Hari ketujuh

4 Julai 2009(Sabtu)

6.00pg Aku dikejutkan oleh suara Sjn Drus dan Abg Din yang ingin turun ke punca air. Dengan pantas aku bangun dan mengambil bekas-bekas air serta terus menyertai mereka berdua. Perjalanan turun dan naik semula menyebabkan rasa sengal dilutut terasa kembali. Hari ini adalah hari terakhir XPDC dan pendaki-pendaki kelihatan teruja untuk menamatkan perjalanan. Semuanya sibuk mengemas beg dan melakukan semakan keatas barang masing-masing.

8.00pg Pagi ini bermacam-macam cerita keluar dan yang paling menyeramkan apabila Khairul bercerita beliau ternampak lembaga ketika hendak keluar membuang air kecil pada malam tadi. Ustaz Nan memaklumkan tapak perkhemahan ini pada asalnya bernama Bukit Malang mengambil nama orang asli yang telah mati disini. Mayatnya yang diikat pada sebatang pokok telah hilang. Beliau menambah ramai guide dan pendaki mengalami gangguan ketika bermalam disini dan kerana itulah namanya ditukar kepada Kem Tengah bagi mengurangkan rasa takut dan seram. Meremang bulu roma mendengarkan cerita-cerita Ustaz Nan dan pendaki-pendaki yang mengalami gangguan malam tadi.

9.00pg Pagi ini agak lewat juga kami memulakan perjalanan kerana laluan yang ada tidaklah sesukar seperti yang dilalui hari-hari yang terdahulu, laluannya landai sahaja kata Mail dengan jarak lebih kurang 20km. Kumpulan pendaki-pendaki dihadapan mula mengatur langkah dengan pantas dan meninggalkan kami yang bergerak secara perlahan-lahan akibat ada yang mengalami kecederaan kecil.

12.00tgh Kumpulan kami tiba di Kem Melantai tepat 3 jam sepertimana yang ditetapkan setelah berjalan sejauh 8km. Kumpulan dihadapan mengambil masa hanya 1 jam 45 minit untuk tiba kesini dan menyebabkan mereka tidak sabar-sabar untuk meneruskan perjalanan kerana telah lama berehat. Rehat ditepi Sungai Melantai sambil menikmati makan tengahari. Pendaki-pendaki yang tiba lebih awal telah bersiap-sedia untuk memulakan kembali perjalanan yang berbaki 12km sahaja lagi untuk tiba di Kuala Tahan. Setelah mengambilkira perjalanan pagi tadi kami mengganggarkan semua pendaki akan tiba di Kuala Tahan sekitar jam 5 petang dengan pergerakan selama 4 jam lagi.

1.00ptg Kumpulan kami memulakan perjalanan terakhir XPDC ini manakala kumpulan yang dipimpin oleh Mail telah bergerak setengah jam lebih awal. Kami bergerak didalam satu kumpulan sepertimana arahan Mail kerana kawasan yang dilalui kini merupakan kawasan Taman Negara.

2.30ptg Langkah semakin dipercepatkan apabila melewati papan tanda yang menunjukkan jarak Kuala Tahan kira-kira 7km sahaja lagi dan tanpa disedari aku dan Abg Din telah meninggalkan kumpulan kami. Sedang kami berjalan sambil menyusuri laluan yang dipenuhi kesan sodokan pak tunggal tiba-tiba kami dikejutkan oleh bunyi dengusan yang kuat sebanyak 2 kali dan kelibat seekor haiwan kelihatan disebalik jerumun berhampiran. Aku dan Abg Din saling berpandangan dan kami mempercepatkan langkah sambil sesekali melihat kearah belakang. Kami terus melangkah dengan pantas sehingga tiba di jambatan yang pertama dan setelah menyeberanginya baru kami berhenti berehat melepaskan lelah. Aku tidak pasti haiwan apa yang menyergah kami tadi tapi menurut Abg Din yang berada di belakang aku waktu itu beliau melihat kelibat seekor pak belang...syukur kami tidak diapa-apakan. Apabila lelah telah hilang kami meneruskan perjalanan dan tidak lama kemudian kami terlihat seekor burung yang besar dengan bulu-bulu yang berwarna-warni seperti burung merak namun aku tidak sempat merakamkan gambarnya apabila dengan pantas menghilangkan diri.

3.30ptg Kami telah melewati beberapa buah jambatan dan papantanda menunjukkan kami semakin hampir dengan Kuala Tahan. Kemungkinan kumpulan awal tadi telah tiba di Kuala Tahan dan ini menyebabkan aku dan Abd Din terus melangkah laju walaupun tapak kaki telah mula terasa pedih. Rasa teruja semakin kuat apabila kami melewati Lubuk Simpon dan kedengaran suara-suara pengunjung yang mandi-manda disitu. Tangga-tangga yang ada menyebabkan Abg Din mengeluh namun aku katakan kepadanya Puncak Tahan kita dah tawan inikan pulak tangga yang ada beberapa puluh mata hanya perkara kecil sahaja.

4.45ptg Alunan azan Asar yang berkumandang menerbitkan rasa sebak didada, aku mengucapkan syukur kehadrat Allah kerana berjaya menamatkan XPDC Gunung Tahan kali kedua ini dengan sihat dan selamat. Ketibaan aku dan Abg Din disambut oleh AJK Biro Rekreasi KESUMBA yang telah sedia menanti dan ungkapan "Welcome To New World" aku rasakan tepat dalam mengambarkan seluruh XPDC selama 7 hari 6 malam dengan jarak 100km. Kelihatan rakan-rakan pendaki yang sampai awal telah sedia menanti dengan memakai baju putih yang diberikan oleh Reelau Agencies. Isyarat ibu jari oleh Mail dari tingkap Pejabat Penguasa Taman Negara Kuala Tahan menanda segala urusan telah diselesaikan. Tabik Mail!!!. Tuan Nasir serta AJK Biro mengucapkan tahniah diatas kejayaan ini dan menjemput menikmati makanan yang disediakan.

5.15ptg Kumpulan terakhir tiba dengan wajah yang ceria. Setelah membersihkan diri terasa bangga bila mengenakan baju putih yang tertera gambar XPDC Gunung Tahan. Seterusnya Aku, Mejar, Asar,sSjn Drus dan Ustaz Nan ke surau Taman Negara Kuala Tahan menghadirkan diri kehadapan Yang Maha Pencipta...Allah hu Akhbar!!!!!

Keputusan telah diambil untuk terus pulang ke Kuantan kerana bas MPK telah sedia menanti ditambah lagi asrama telah penuh serta ramai pengujung yang berkhemah disini.

Kami terus menyeberang dengan bot dan aku lihat Kuala Tahan telah mengalami perubahan yang besar setelah jalanraya yang aku sendiri pernah terlibat dalam pembinaannya dahulu siap sepenuhnya. Masalah sosial agak parah disini kata Mail yang kami hantar bersama-sama Ustaz Nan ke Jerantut dengan bas MPK.

8.30mlm Kami tiba dibandar Jerantut dan perjalanan hanya mengambil masa 1 jam 15 minit sahaja dari Kuala Tahan. Makan malam di Medan Selera Bandar Jerantut berhampiran stesen keretapi bersama-sama Sjn Drus, Mie, Asar, Mail dan Ustaz Nan serta pendaki-pendaki yang lain.

10.00mlm Meneruskan perjalanan pulang dan meninggalkan Mail dan Ustaz Nan yang akan menaiki keretapi ke Merapuh jam 2 pagi nanti.

1.30pg Tiba di Ibu Pejabat MPK dan semua pendaki kembali kepangkuan keluarga masing-masing.